Tuesday, 4 December 2012

Keikhlasan Yang Sesat


 “Anak-anak pak cik kata mereka tidak pernah nampak pak cik solat. Memang benar! Pak cik tidak solat depan orang. Seandainya tetamu datang ke rumah pak cik, pak cik akan melayannya dan tidak akan sesekali meninggalkannya untuk menunaikan solat. Buat apa pak cik nak tunjuk kepadanya yang pak cik mahu solat? Itu sudah jadi tidak ikhlas. Anak-anak pak cik tak pernah nampak pak cik solat kerana pak cik hanya menunaikan solat dalam bilik. Waktu tidak ada orang tengok!”
     Inilah yang dimaksudkan dengan keikhlasan yang sesat. Ramai orang menganggap bahawa tiada amalan tanpa keikhlasan dan sering menggunakan ayat ini sebagai perisai:

    Tiada guna amalan yang kita lakukan jika tidak ikhlas! Aku nak solat ke tak nak solat ke itu hak aku dengan Allah. Buat apa aku nak pamer pada orang?
    Atau..
    Buat apa memakai tudung kalau hati tidak ikhlas? Baik tunggu hati benar-benar ikhlas barulah memakai tudung.

    Malang sungguh hidup mereka. Inilah akibatnya apabila manusia mula merasakan dirinya pandai dalam hal-hal agama sedangkan mereka tidak mahu menuntut ilmu agama itu sendiri. Manusia kadang-kadang sesat dalam agama bukan kerana kebodohannya, tetapi kerana terasa dirinya pandai menggunakan akal memahami maksud firman ilahi.
Kefahaman tentang ikhlas jika diukur dengan logik, ia seharusnya difahami begini:

    Tidak berguna keikhlasan di hati apabila perintah Allah dimurkai dan tidak guna membuat amalan apabila hati tidak ikhlas.

     Apalah guna mendabik dada tentang amalan ikhlas jika suruhan Allah diingkari? Adakah Allah pernah menyebut bahawa sesiapa yang merasa dirinya tidak ikhlas maka tidak perlu menunaikan perintah-Nya yang wajib seperti solat, berpuasa, menutup aurat dan sebagainya? Sudah tentu tidak! Justeru itu dari manakah datangnya kefahaman mereka bahawa jika tidak ikhlas, kita tidak perlu menunaikan kewajipan yang telah Allah tetapkan?

    Ia datang dari rasa kebijaksanaan mereka memikirkan idea logik tentang agama. Padahal mereka sebenarnya diperbodohkan oleh syaitan untuk menyesatkan diri mereka semata-mata. Nauzubillah… Semoga mereka diberi hidayah..

#perkongsian untuk pemantapan rohani :)
Terima kasih kerana sudi baca blog saya ^_^

No comments:

Post a Comment