Thursday, 29 November 2012

Tips Belajar

Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem.





Tidak mensia-siakan biar pun seminit
Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang terluang, masa pertukaran kelas, masa menunggu bas, masa sebelum hidangan makanan. Kita boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah dibaca.


Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi
Amalkan sikap membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.


Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan kita merujuk kembali apa yang telah dibaca. Ia tidak menjamin ingatan tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan kita. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.


Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang hendak dilakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar tanpa syarat. Jangan ikut perasaan. Biar pun kita tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaja buku dan membacanya. Jika kita mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, kita tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan kita peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.

Ulang sebanyak kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak ada had ulangan yang akan dilakukan. Selagi ada masa, kita boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun kita sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak kita membaca, semakin tinggi keyakinan diri kita untuk lulus dengan cemerlang.



Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawa contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya begitu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.


Imbangkan masa kokorikulum dan akademik
Jika kita berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik. Jika kita mahu berjaya dalam akademik, kita perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah. Jika masa minima tersebut tidak dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.


Belajar mengikut rentak sendiri 
Jangan membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan. Kita perlu mengenal rentak sendiri dan pastikan kita mematuhi rentak tersebut. Jika kita seorang pelupa, pastikan kita mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan datang. Jika kita perlukan bimbingan tambahan , dapatkan tuisyen.


Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar perlu diketepikan. Beritahu diri kita , “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh perkara yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas . Layankan semua gangguan ini selepas peperiksaan. Kita boleh gunakan musik latar yang lembut untuk menjadikan suasana belajar lebih menyelerakan (jika sesuai).


Belajar menyesuikan diri dengan semua keadaan
Biar pun rumah kita bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk kita mengulangkaji. Kadang-kadang , kita perlu belajar menyesuaikan diri dengan kekurangan yang ada. Semakin mencabar keadaan, semakin besar ujian ketahanan diri kita. Beritahu diri kita, “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana saya seorang yang tahan lasak.”




#Belajar adalah suatu seni. Jika kita tahu menguasai seni tersebut , kita boleh berjaya biar pun diri kita mempunyai beberapa kekurangan.


Terima kasih kerana sudi baca blog saya ^_^

No comments:

Post a Comment